Saturday, September 24, 2011

Resepi Tradisi: Manok Pansoh ( Ayam Pansoh )






Pemanis kata saya ucapkan selamat malam. Semoga ceria-ceria selalu!
Sekian lama ak update blog. Terasa rindu pulak! Adanya masa terluang begini saya sempat juga jenguk2 blog. Mencoret sepatah dua kata. he he. Kali ini, saya nak berkongsi resepi tradisi saya bersama sahabat2 semua. Ayam Pansoh yang pastinya menambahkan selera anda!

Ayam pansoh atau ayam yang dimasak dalam buluh merupakan makanan tradisi turun temurun kaum Dayak di Sarawak khasnya masyarakat Iban dan Bidayuh. Masyarakat Iban dan Bidayuh gemar membuat ayam pansoh ketika musim perayaan iaitu Hari Gawai iaitu pesta selepas menuai padi. Resepi ayam pansoh merupakan masakan yang sangat terkenal di Sarawak. Buluh yang digunakan untuk memasak ayam tersebut memberikan satu cita rasa tersendiri yang menyebabkan kaum Dayak ini tidak pernah jemu menikmatinya. Ayam pansoh sesuai dimakan ketika sarapan pagi, makan tengahari dan malam. Ayam pansoh sangat sedap dimakan bersama nasi pulut atau lemang. Kini, resepi ayam pansoh dimasak oleh pelbagai kaum di Malaysia. Cara masak ayam pansoh ini lebih kurang sama dengan memasak lemang.

Bahan-bahan untuk membuat resepi ini tidak sukar utuk dicari. Hal ini menyebabkan kita mudah untuk membuatnya pada bila-bila masa sahaja. Antara bahan yang digunakan ialah ayam, bawang putih, bawang merah, halia, bunga kantan, daun ubi, garam, serai dan buluh yang cukup matang. Biasanya, buluh yang sederhana besar memerlukan seekor ayam yang tidak sederhana besar, 2 hingga 3 batang serai, sebiji halia, 6 ulas bawang putih, 4 ulas bawang merah, daun ubi yang telah digosok, 2 batang bunga kantan, dan garam secukup rasa. Bawang putih, bawang merah, halia, serai, dan bunga kantan yang telah dikupas tersebut ditumis bersama sehingga lumat.

Selepas semua bahan tersebut ditumis bersama, ayam yang telah dipotong diperap bersama-sama bahan tersebut selama 30 minit. Kemudian, daun ubi yang telah digosok dengan tapak tangan dimasukkan ke dalam ayam yang telah diperap dan gaulkan bersama. Selepas itu, ayam yang telah diperap dan dicampur dengan daun ubi yang telah digosok dimasukkan ke dalam buluh. Semasa mengisi ayam ke dalam buluh, hentakkan sedikit buluh tersebut supaya ketulan ayam turun ke bawah. Pastikan buluh tersebut tidak terlalu penuh. Kemudian, tuangkan sedikit air ke dalam buluh da tutupkan mulut buluh dengan daun ubi yang telah disimpul. Bakarlah selama lebih kurang 1 jam untuk menghasilkan ayam pansoh yang sempurna. Selepas 1 jam, ayam tersebut sedia untuk dihidangkan.

Sebagai rumusannya, tidak terlalu sukar untuk membuat resepi ayam pansoh ini kerana hasilnya pasti akan memuaskan. Ayam pansoh adalah makanan yang perlu dirasa apabila berkunjung ke Sarawak. Resepi ini tidak terhad kepada memasak ayam sahaja tetapi pelbagai makanan boleh dimasak di dalam buluh. Contohnya, udang, ikan sotong dan sebagainya.

: Selamat mencuba ye sahabat! :

No comments:

Post a Comment