Wednesday, September 1, 2010

cerpen: Tak Bisa Memilihmu

Aku menyayangimu tapi mencintai dia…

Masih segar di ingatanku kata-katanya dahulu. Terngiang-ngiang dan sering datang menerjah ruangan ingatan. Ada apa dengan kata sebegitu? Jenuh aku memikirkannya. Seketika aku mengeluh perlahan. Inilah dinamakan hidup. Tanpa semua ini, bukan hidup namanya. Setahun berlalu aku masih setia memegang janji-janji itu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengingkari apatah lagi mengkhianati. Aku mengaku bahawa aku sangat mencintai dia. Ya…itu yang sesungguhnya. Namun, mengapa takdir jadi begini? Adakah ini kesudahannya?

“Ina janji tau. Tunggu abang balik. Abang sentiasa ingatkan Ina”. Katanya sambil merenung tepat ke dalam anak mataku. “Ina janji abang. Abang jaga diri tau. Mesti ingat Ina selalu. Ina pasti merindui abang”. Aku terasa sebak setelah menuturkan kata-kata itu. Selagi abang setia, selagi itu Ina menanti abang. Hatiku berbisik sendirian. Itulah kenyataannya. Haiqal memegang erat tanganku seakan–akan tidak ingin dilepaskan. “Abang janji takkan hampakan harapan Ina. Harapan kita. Abang sayang Ina seorang. Ina mesti tunggu kepulangan abang”. Kali kedua dia menuturkan kata-kata itu. Aku mengangguk perlahan. Mengapa kita harus berjauhan abang? Saat cinta Ina kian mekar dan harum mewangi. Aku takut abang. Takut kehilangan abang. Berjauhan begini menguji hati kita. Aku takut hati kita berubah. Aku takut segalanya tidak seperti yang diinginkan. Aku takut menghadapi segala kemungkinan yang akan datang.
* * *

Tatkala aku bersendirian meniti senja, kenangan itu datang lagi. Angin bertiup mendamaikan seakan membiarkan kenangan it uterus berkuasa dan bertakhta di hati. Menjadi raja yang bermaharajalela di hati. Aku masih terdampar di sini. Menuntut ilmu di universiti tempatan. Universiti Pendidikan Sultan Idris tetap di hatiku. Aku seorang pencinta bidang pendidikan sejak dahulu lagi. Aku ingin menumpahkan segala ilmu di dada untuk anak bangsa yang tercinta. Tapi, minat Haiqal tidak sama dengan minatku. Jauh sama sekali. Dia lebih suka menuntut ilmu di negara barat. Berlainan sekali dengan pendirian aku. Biarpun mendapat tawaran belajar di luar negara, aku tetap akan menolak. Mengapa minat kami jauh berbeza sedangkan kami sangat mencintai antara satu sama lain?
Jauhnya fikiranku menerawang mengingatkan saat pertemuan terakhir dengan Haiqal sehingga aku terlupa sesuatu. Oh ! Aku ada kelas hari ini. Kelas bermula pukul 10 tapi aku masih tidak berbuat apa-apa. Entah mengapa fikiranku asyik terganggu sejak akhir-akhir ini. Asyik teringatkan kenangan bersama Haiqal. Apa khabar agaknya dia? Sihatkah dia di sana? Pelbagai persoalan timbul dalam benakku. Persoalan yang tiada jawapan. Aku mengeluh.
Aku bersiap-siap untuk ke kampus. Agak tergesa-gesa memandangkan agak telewat. Selalu aku begini. Dalam perjalanan ke kampus, telefon bimbit ku bergetar. Terkejut aku dibuatnya. Satu mesej diterima dari Izwan. “Ina kat mane ni?”. Malas aku nak membalas. Ku biarkan mesejnya sepi tanpa pembalasan. Hairan aku dengan lelaki ni. Tidak dilayan makin menjadi-jadi pula. Aku mengeluh. Setiap hari dia tanpa jemu menghantar mesej. Kadang-kadang dia menelefon aku. Rindu sangat ke? Padahal hari-hari jumpa. Tanpa sedar, aku telah pun sampai kelas.
* * *

“Ina tau tak mengapa Iz sangat happy sekarang?”. “Emm… entahlah…ada makwe baru kot”. Selamba aku menjawab. Izwan lalu ketawa. Aku memandangnya. “Salah la…teka lagi”. “Tak reti la teka meneka ni. Baik Iz bagitau jer”. Aku memang tak tahu pasal teka meneka ni. “Alaa…senang je…sebab Iz dapat jumpa Ina yang si manis ni hari-hari. Hilang segala duka lara hati ini bila terpandang wajah Ina”. Aku terkejut. Izwan nampak bersungguh. Dia menatap wajahku. Aku segera memalingkan wajahku ke tempat lain. “Iz pun tak tau mengapa tapi Iz sangat happy bersama dengan Ina. Ina bagaikan penyeri hidup Iz”. Dia menyambung lagi. Aku ketawa. Ketawa yang dibuat-buat sebenarnya. “Ina pun sangat happy bila bersama dengan Iz. Thanks Iz. Semoga persahabatan kita kekal buat selama-lamanya”. Izwan tersenyum memandangku. Aku mengagumi ketulusan hati Izwan. Beruntung mana-mana gadis yang berjaya memiliki hati lelaki yang setulus Izwan. Aku sempat menilai diri Izwan.

“Ina tau tak siapa Ina di hati Iz?”. Aku menggeleng sambil tersenyum. “ Takkan Ina tak tau”. Aku ketawa manja. “ Emm…Ina ni buah hati pengarang jantung Iz. Betul tak?”. Aku terus ketawa. Seronok benar aku dapat menyakat Izwan. “Ina janganlah main-main. Ina begitu bermakna dalam hidup Iz. Tau tak Ina ni ibarat bulan dan Iz ni bintang. Kita saling memerlukan Ina. Sekiranya bulan tidak bercahaya, bintang akan menerangi malam dan mencari di mana bulan. Begitu juga aku Ina. Iz berasa tidak keruan sekiranya sesaat tidak dapat menatap wajah Ina”. Aku sangat terharu mendengar kata-kata Izwan. Aku sangat mengakui kata-katanya itu kerna aku juga begitu. Simpan sahaja kata-katamu itu Iz. Aku tak mampu untuk membalas kata-katamu itu. Aku kalah dalam permainan ini. Aku tidak dapat memberikanmu walaupun secebis harapan. Aku hanya membisikkan kata-kata itu dalam hati. Kata-kata itu hanya menjadi tetamu dalam hati. Lama aku terdiam. Izwan memandangku. “Mengapa diam, Ina? Cakaplah sesuatu. Please…”. Aku masih lagi diam. “Iz, aku juga merasa begitu. Kita merasakan sesuatu yang sama”. Hanya itu yang mampu ku luahkan demi menjaga hatinya yang tulus itu. Izwan tersenyum bahagia. Mungkin kata-kataku cukup untuk membuatkan hatinya berbunga bahagia. Aku tidak sanggup menatap kebahagiaan di wajahnya. Hatiku terguris dan luka berdarah. Kasihan kau Iz. Maafkan aku. Aku belum bersedia memberitahu kau kebenaran ini. Aku tak sanggup. Aku menjerit di dalam hati. Namun, tiada siapa pun yang mendengar.

Aku sangat menyayangi Izwan tetapi itu hanya diluahkan di dalam hati. Tidak terucap oleh kata-kata. Sinar kebahagiaan kian terpancar di mata Izwan. Aku pun bahagia. Bahagia dalam duka. Tidak tahu aku mentafsirkan perasaanku sekarang. Aku sungguh keliru. Antara kasih sayang pada seorang kawan yang tulus dan kerinduan pada seseorang yang kian menjauh. Aku tersepit dalam dilema yang tiada kesudahan. Aku turut bersimpati akan nasibku sendiri. Bagaimanakah kesudahannya nanti? Aku sering kali menyoal diri sendiri meskipun aku tahu memang tiada jawapan untuk segala soalan ini.
* * *

Aku duduk termangu menghadap laptop. Terdapat beberapa lagi tugasan individu yang terbengkalai. Aku tiada apa-apa aktiviti malam ini. Jadi, inilah masa yang sesuai untuk membuat segala tugasanku ini. Sesekali, telefon bimbitku bergetar tanda isyarat mesej masuk. Hmm…mesej dari Izwan. Memang aku menjangkakan Izwan yang menghantar mesej. Mesejnya menyatakan tentang rindu, rindu dan rindu. Terhibur juga aku. Segera aku membalas mesej Izwan. Aku sangat suka menyakat Izwan. Sudah menjadi hobi aku sekarang ni. Apabila mengingatkan Izwan, aku tersenyum sendirian. Tiga hari aku tidak berjumpa dengan Izwan. Dia sibuk dan begitu juga aku. Kesibukan mula menjarakkan kami.

“Ina nampak semakin rapat dengan si Izwan tu. Ada apa-apa ke ni?”. Aku terkejut dengan pertanyaan Hanna. “Kawan jer la Anna. Tak ada apa-apa yang istimewa pun”. Aku cuba menjelaskan hubunganku dengan Izwan. “Anna nampak macam lebih dari kawan jer. Bahagia jer korang berdua ni. Harap-harap la hubungan korang lebih dari sorang kawan”. Hanna tersenyum penuh makna. Aku turut tersenyum. Tiada siapa tahu hatiku sedang menangis. Tak mungkin lebih dari seorang kawan, Hanna. Itu tak mungkin terjadi. Hatiku telah dimiliki sejak sekian lama. Aku menjerit lagi dalam hati. Teringat kembali aku kata-kata Izwan dahulu. Sejak awal perkenalan kami.
* * *

“Iz akan tunggu sampai hati Ina terbuka untuk Iz. Iz janji”. Alangkah bertuah gadis seperti aku mendengar ungkapan sebegitu daripada lelaki sebaik Izwan. Tapi aku insan malang yang tidak dapat menerima cinta lelaki setulus dia. Aku terperangkap dalam janji. Janji yang begitu menyeksa dan merantai hati. Aku hanya menggelengkan kepala sebagai tanda menjawab soalan dia. Aku terus memalingkan wajah setelah menatap wajah kecewanya. Tak sanggup aku terus menatap wajah itu. Rasa bersalah semakin menebal seakan-akan duri tajam yang mencucuk tangkai hati. Pedih dan ngilu ku rasakan.
Kini, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Izwan telah berjaya membuka hatiku. Tanpa sedar aku telah memberikannya sinar harapan. Kami sering berpuitis untuk mengungkapkan sesuatu yang tersirat di hati. “Ina, kita bagai aur dan tebing. Tanpa aur, tebing akan musnah. Tebing kesepian tanpa teman. Tanpa tebing pula aur terseksa seorang diri menanti dan terus menanti. Begitu juga aku Ina. Iz takkan sekuat ini tanpa Ina di sisi. Tak dapat dibayangkan andai Ina pergi meninggalkan Iz seorang diri”. Bicara lembut penuh romantis itu membuatkan aku rasa terharu. Tidak terlintas di fikiran untuk meninggalkanmu Iz. Percayalah. Andai ada jodoh kita takkan ke mana. Hatiku terus berbisik kerna bibirku seakan terkunci. Memang benar kata-katamu itu Iz. Aku bunga dan kaulah kumbang. Tanpa kumbang, tiada maknanya juga wangian bungaku. Itulah aku, Iz. Bunga si kumbangmu.



* * *

Aku berjalan sendirian menyusuri jalan untuk menenangkan hati. Ku lihat burung berterbangan ke sana sini. Riang benar anak-anak burung itu. Aku terhibur seketika. Aku terkejut tatkala tiba-tiba melihat kelibat Izwan. Diakah itu? Tersenyum dia melihatku. Aku turut tersenyum. Dia melambai-lambai tangan seterusnya berlari-lari anak ke arah ku. Tidak sabar sungguh dia. Tiba-tiba, sebuah kereta melanggar tepat tubuh Izwan. Ya tuhan! Badanku menggigil dan bergetar. Aku terasa seperti di awang-awangan. Aku meraung dan menangis sekuat-kuat hati. Dugaan apakah ini? Tolonglah selamatkan Iz. Badanku lemah dan tak berdaya. Tolong…


Aku tersedar. Badanku berpeluh. Rupa-rupanya itu mimpi. Mimpi yang teramat ngeri. Pipiku masih basah dek air mata. Moga- moga Iz selamat. Mimpi hanya mainan tidur. Aku tidak percaya mimpi. Aku tak ingin bermimpi dan aku tidak ingin mimpi menggangu hidup aku. Namun begitu, hatiku terusik juga. Aku takut andai mimpiku benar-benar terjadi. Aku berdoa dalam hati. Lindungilah Iz ku. Aku mohon. Aku tergesa-gesa bangun dan mencari telefon bimbit. Aku terus menghubungi Izwan. “Hello Iz. Iz kat mana sekarang? Ina nak jumpa”. Teresak-esak aku menangis. Tak dapat ku tahan air mata. “Ina, Ika ok? Kenapa ni? Ok…Iz jemput Ina sekarang juga. Tunggu Iz k”. Mesti Izwan terkejut mendengar aku menangis. “Ok Iz. Tolong datang cepat”. Itu saja yang dapat ku katakan dan ku terus matikan talian. Lega hatiku kini. Aku tersenyum. Aku sayang Iz. Sayang sangat-sangat. Hatiku berkata-kata.


“Kenapa ni Ina? Iz risau sangat. Ina ada masalah ke? Ceritalah pada Iz. Iz sedia mendengar”. Damainya hatiku. “Iz, tolong jangan tinggalkan Ina. Ina tak sanggup kehilangan Iz”. Air mata yang ku tahan mengalir juga akhirnya. Izwan hairan melihatku menangis tiba-tiba. “Ina, kenapa Ina berkata begitu? Tak ada niat Iz nak tinggalkan Ina. Iz sayang Ina. Sayang sangat”. Aku masih lagi menangis. “Ina pun sayangkan Iz. Sayang sangat”. Jujur aku mengatakan perasaanku yang sebenarnya. “Please …jangan nangis lagi. Iz tak nak orang yang Iz sayang mengeluarkan air mata walaupun setitis. Ina nak Iz buat apa untuk menghapuskan air mata Ina?”. Aku terasa sangat dihargai. “Iz tak payah buat apa-apa. Iz ada di sini dah cukup bagi Ina. Ina sangat memerlukan Iz. Tolong jangan pergi dari hidup Ina”. Izwan tersenyum bahagia. “Iz bukan sekadar sayang. Iz cintakan Ina. Dah terlalu lama Iz menyimpan perasaan cinta ini. Iz sentiasa menanti hingga pintu hati Ina terbuka untuk Iz. Iz akan tunggu”. “Iz tak perlu tunggu lama. Hati Ina memang diciptakan untuk Iz”. Izwan memandangku agak lama. “Ina tak main-main kan?”. “Ina macam main-main ke Iz?”. Aku tersinggung dengan kata-katanya. Nampak benar dia tidak mempercayaiku. “Iz percayakan Ina. Iz la lelaki paling bertuah dalam dunia ni, Ina”. Tuturnya lembut mendamaikan hatiku. Percayalah Iz, Cinta Ina hanya untuk Iz.
* * *


Kami mula menganyam mimpi indah. Menanam benih-benih kasih. Menanti masa untuk menuai cinta. Hubungan kami makin akrab bagai tidak boleh dipisahkan lagi. Aku sangat mencintai dia. Sungguh. Kehidupanku seakan tidak lengkap seandainya sehari tidak berjumpa dengannya. Tidak lagi aku seperti pungguk rindukan bulan. Tiada lagi penantian dalam hidupku kini. Tiada lagi tangisan berlagu rindu dan tiada lagi mimpi ngeri yang menggangu lenaku. Hanya dia di hati. Tiada guna aku menanti sesuatu yang tidak pasti. Biarlah aku bahagia dengan Izwan. Dia begitu sempurna bagiku. Segalanya berjalan lancar. Aku lebih bersemangat menjalani hidup kini. Mama dan papa merindui aku dan memintaku balik biarpun hanya sekejap. Mereka juga ingin berkenalan dengan Izwan. Aku berjanji akan membawa Izwan berjumpa dengan mama dan papa sekiranya ada masa yang sesuai nanti. Tapi, aku telah berjanji untuk berjumpa dengan mama dan papa Izwan terlebih dahulu. Terasa bersalah pula aku pada mama dan papa Izwan yang nampaknya bersungguh-sungguh ingin berjumpa dengan aku.


Aku hanya menunggu masa yang sesuai juga untuk berjumpa dengan mereka. Aku belum bersedia sebenarnya. Esok adalah janji untuk berjumpa dengan mama dan papa Izwan. Aku tidak boleh mengelak lagi. Tak sanggup aku melihat kekecewaan pada wajah Izwan. Bersediakah aku? Entahlah…
Aku terasa malas bangun pagi ini. Setelah mengingatkan pertemuan dengan mama dan papa Izwan, hatiku berdebar. Aku terus bangkit dan menuju ke jendela. Hanna ada kelas pagi ini. Perutku terasa lapar tapi aku tidak terus menghala ke dapur. Aku duduk di meja belajar dan terus membuka laptop. Lama juga aku tidak online. Aku terus membuka ruangan yahoo messenger. E-mail dari Haiqal! Jantungku berdegup kencang. Tanganku terketar-ketar. Tak sanggup aku membaca apa yang telah dicoretkannya itu. Namun, ku gagahkan hati untuk membaca apa yang dicoretkan akhirnya.


Ina tersayang…

Mukadimah yang sudah cukup membuatkan pernafasanku terhenti seketika. Ku baca lagi coretan seterusnya.


Apa khabar Ina? Harapan abang moga-moga Ina sihat hendaknya. Terlebih dahulu, abang memohon sejuta kemaafan dari hujung kaki hingga hujung rambut kerana tidak berkesempatan menghubungi Ina sepanjang abang di sini. Percayalah…tiada niat di hati abang untuk melupakan Ina. Abang terlalu sibuk dan masa abang dihabiskan untuk membuat tugasan-tugasan yang memerlukan lebih masa. Abang terpaksa berkorban demi masa depan kita juga. Semua ini abang lakukan hanya untuk Ina. Untuk kita. Lama abang tak menatap wajah Ina. Mesti Ina makin ayu sekarang. Rugi abang tak luangkan masa bersama Ina selama tiga tahun ni. Huhuhu…


Abang ada berita baik. Cuba teka! Hehehe…abang balik hari Jumaat ni. Mesti Ina ternanti-nanti kepulangan abang. Seperti yang kita janjikan dulu. Mesti Ina tak sabar menanti kepulangan abang. Abang tak sabar menanti hari Jumaat. Abang nak melepaskan rindu yang kian sarat ini. Tak tertanggung rasanya memendam rindu. Andai abang punya sayap, abang akan terbang ke sana menjenguk Ina. Abang rindu saat kita bersama dahulu. Saat kita berkongsi bermacam-macam cerita. Saat kita masih berada di alam persekolahan. Sangat indah dirasakan waktu itu. Saat mula perkenalan kita. Itulah kenangan paling manis yang masih terpahat utuh dalam ingatan abang. Tak mungkin terpadam dari ingatan abang.


Di sini abang dihimpit kesepian. Dunia abang bukan di sini. negara ini hanya tempat abang menuntut ilmu. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Meskipun Negara kita tidak semoden negara luar tapi abang merasakan negara kita tetap yang terbaik. Abang tidak menafikan hakikat itu. Abang merindukan segalanya di sana. Abang rindukan senyuman Ina yang bisa mendamaikan hati abang. Abang rindukan gelak tawa Ina dan segalanya tentang Ina. Ina pun mesti rindukan abang kan? Abang ada bawa ole-ole untuk Ina nanti. Tunggu abang ye…
Ina…
Bagaimana dengan kehidupan Ina sekarang? Semoga hidup Ina sentiasa disulami gelak tawa. Macam dulu-dulu… jangan malas-malas buat assignment tau…bagaimana dengan mama dan papa? Moga-moga mereka sihat walafiat. Abang berhasrat nak jumpa mereka nanti. Abang pun nak bawa Ina jumpa umi dan abah. Kita tak pernah ada kesempatan nak jumpa dengan orang tua. Moga-moga kali ini hasrat murni kita ini kesampaian.
Banyak cerita yang abang nak kongsikan bersama Ina. Tunggu ye… setakat ni je abang coretkan di ruangan ini. Wassalam…
Salam sayang,
Abang Haiqal


Aku terpaku. Sukar untuk mempercayai apa yang telah aku baca sebentar tadi. Aku menyembamkan muka ke atas meja dan menangis semahu-mahunya. Mengapa baru sekarang abang bertanyakan khabar Ina? Mengapa baru sekarang abang melafazkan rindu? Mengapa baru sekarang abang menagih janji-janji yang dulu? Mengapa? Soalan demi soalan bermain di benakku. Mengapa tidak tiga tahun dahulu? mengapa tidak di saat aku terkapai-kapai mencari tempat berpaut? Mengapa tidak saat aku terlalu mendambakan kasihmu dahulu? Mengapa tidak di saat rinduku menderu dan mengapa tidak saat cintaku mekar mewangi dahulu? Aku memerlukan jawapannya sekarang abang. Aku tak tahu apa yang harus dilakukan sekarang. Berikan aku petunjukmu Ya Tuhan.


Telefon bimbitku berdering beberapa kali. Nama Izwan menari-nari di paparan skrin. Aku membiarkan panggilannya sepi begitu sahaja. Agaknya berbelas-belas mesej dari Izwan. Juga tiada pembalasan dariku. Kejamnya aku membiarkan Izwan gelisah. Kejamnya aku membiarkan Izwan ternanti-nanti dan kejamnya aku memungkiri janji untuk berjumpa dengan mama dan papa Izwan. Aku terus menangis. Akukah yang bersalah? Siapa yang bersalah antara aku dan Haiqal? Akukah? Tiada siapa yang menjawab pertanyaanku. Aku terus menangis.


Izwan tak tentu arah. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Mengapa Ina tidak menjawab telefon? Mengapa dengan Ina? Dia demamkah? Dia ada masalahkah? Mengapa Ina tidak membalas mesej? Apa masalah Ina? Mengapa Ina tidak memberitahu aku apa masalah dia? Izwan juga dikelilingi beberapa soalan yang tiada jawapan. Mustahil Ina lupa akan janjinya hari ini. Mamanya dah tiga kali menghubunginya. Setelah sekian lama menghubungi Ina, Izwan pun menghubungi mamanya dan mengatakan pertemuan ditangguhkan disebabkan Ina ada urusan yang perlu diuruskan segera. Mengapa Ina tiba-tiba begini? Sekurang-kurangnya Ina bagi sebab mengapa dia tak dapat datang. Tak pernah Ina seperti ini. Izwan masih tertanya-tanya. Izwan mengambil keputusan untuk menenangkan fikirannya seketika. Dia memandu dan terus memandu tanpa arah tujuan.


Aku tidak menjamah apa-apa makanan hingga petang. Setelah dipujuk oleh Hanna, barulah aku terdetik nak menjamah sedikit nasi. Aku tidak berasa lapar. Aku masih sayangkan Haiqal. Haiqal cinta pertamaku. Kalau Haiqal tau, mesti dia menuduhku curang. Tidak setia pada janji. Akukah yang bersalah Tuhan? Jarak dan waktu memisahkan kami. Mengapa Haiqal menyepi tanpa kata dulu? Aku tidak dapat menerima alasan kesibukan mebuatkannya tiada sesaat masa untuk aku. Aku pun sibuk juga tapi dapat juga aku menitipkan sepatah dua kata untuk dia dulu.
Aku tersepit! Ahhh…apakah jalan penyelesaiannya? Tuhan…tunjukkanku jalan. Kuatkanlah semangatku menghadapi semua ini. Aku tidak ingin Izwan mengetahui kebenarannya. Cukuplah selama ini aku banyak melukai hatinya. Teringatkan Izwan, rasa bersalah menebal dalam diriku. Bagaimanakah keadaan dia setelah aku mungkir janji? Oh Tuhan…aku telah melukai hati dia. Mesti dia sangat kecewa sekarang. Di manakah dia sekarang? Izwan menyepi. Aku terus mencari!
* * *


“Assalamualaikum Ina. Abang ni. Kenapa Ina tak jawab panggilan abang? Hari-hari abang call. Seminggu dah abang kat sini. Baru sekarang Ina jawab panggilan abang. Abang risau, Ina. Ina, kita jumpa sekarang. Abang rindu Ina”. Tak usahlah memperkenalkan diri Haiqal. Ina cukup kenal suaramu biarpun sekian lama tak jumpa. Tak usahlah bertanya banyak soalan dan melafazkan kerinduan. “Hello Ina, Ina ok ke? Cakaplah sesuatu. Kenapa diam?”. Lidahku kelu abang. Tak tau nak cakap apa. “ Ok…kita jumpa. Tempat biasa”. Hanya itu yang mampu keluar dari bibirku. “Thanks Ina. Abang tak sabar nak jumpa Ina. Abang jemput Ina ok?”. Haiqal sempat menawarkan diri untuk menjemputku. “Tak perlu abang. Biar Ina datang sendiri”. Mesti Haiqal terasa dengan kata-kataku. Biarlah…


Aku nekad untuk berjumpa dengan Haiqal untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hatiku. Tak larat aku menyimpan semua ini dalam hati. Aku redha dengan apa yang terjadi selepas ini. Pantai Cahaya tempat pertemuan yang mengungkapkan kenangan manis antara aku dan Haiqal. Di situlah juga pertemuan sebentar lagi. Aku lihat kelibat Haiqal dari jauh. Dia tidak banyak berubah. Masih seperti dulu. Dia tersenyum tatkala melihatku. Aku tiada reaksi. Aku kaku seketika. Haiqal lalu menghampiriku. “Hai Ina. Lama tak jumpa Ina dah semakin cantik. Sebab tu abang tak sabar nak balik. Abang rindu”. Ahh…hentikan bicara tentang kerinduanmu itu! “Ina sihat?”.“Seperti yang abang nampak. Ina sihat, abang. Hati Ina saja yang tak sihat”. Jelas riak terkejut terlukis pada wajah Haiqal. “Apa maksud Ina ni? Abang tak faham.

Ina macam tak ada mood nak jumpa abang. Ina tak rindu abang ke?”.
“Tipu kalau Ina kata Ina tak rindu abang. Ina rindu abang setengah mati. Separuh nyawa Ina abang dah bawa pergi ke sana”. Aku tak dapat nak meneruskan kata lagi. Nafasku terasa sesak. “Mengapa Ina macam tak happy je jumpa abang? Ina ada masalah ke?”. Memang Ina ada masalah. Masalah Ina adalah abang! Batinku menjerit. “Mengapa abang menyepi dahulu? mengapa abang biarkan Ina terseksa menanggung rindu? Mengapa abang buat Ina rasa macam digantung tak bertali? Di mana abang waktu Ina sangat memerlukan kehadiran abang dulu? Abang sangat sibuk?”. Soalan bertalu-talu keluar dari bibirku. Banyak lagi soalan yang ingin ku tanyakan. Bukan itu sahaja. Haiqal menghela nafas perlahan-lahan.


“Abang dah jelaskan pada Ina dalam e-mail yang abang kirim hari tu. Ina tak faham keadaan abang. Abang terpaksa buang jauh-jauh perasaan rindu tu. Abang nak tumpukan sepenuh perhatian pada study abang. Ina nak tau tak? Abang selalu menangis bila ingatkan Ina. Abang tak pernah lupakan Ina. Abang masih setia dengan janji-janji kita. Ina sentiasa dalam hati abang”. Tulus benar dia menuturkan kata-kata itu. Air jernih mula membasahi pipiku. Akukah yang bersalah? Tuhan, berilah aku petunjuk-Mu. Tenangkanlah hatiku ini. “Mengapa tak ada walaupun sesaat untuk Ina? Ina keliru abang. Ina rasa sukar menerima alasan abang. Maafkan Ina”. Air mataku terus menitis.


“Tolonglah fahami abang, Ina. Janganlah terus menyalahkan abang. Abang minta maaf. Mungkin itu kesilapan terbesar yang pernah abang buat. Maafkanlah, abang”. Aku berasa sungguh keliru. Perasaan serba salah menakluki hatiku kini. Aku diam membisu. “Cakaplah sesuatu, Ina. Hukumlah abang kalau itu dapat membuatkan air mata Ina berhenti mengalir. Please Ina…”. Aku mengelengkan kepala. “Abang terlambat. Terlalu lambat. Maafkan, Ina”.
Haiqal sangat terkejut mendengar kenyataan dariku. Ya…itulah kenyataannya. Hatiku telah dimiliki oleh insan lain sejak sekian lama. “Ina, apa Ina cakap ni? Janganlah seksa abang macam ni, Ina. Abang tak sanggup”. Tak sanggup aku menatap wajah kecewa Haiqal. “Tapi, itulah kenyataannya abang. Abang mesti terima kenyataan yang kita memang tidak dijodohkan untuk terus bersama…”Aku tak dapat meneruskan kata-kata itu lagi. Pahit untuk diluahkan. “Kita boleh mulakan sekali lagi, Ina. Maafkanlah segala kesilapan abang. Abang merayu pada Ina”. Jangan merayu lagi Haiqal! Dah terlambat. Sangat lambat. Maafkan aku. “Tak boleh abang. Ina cinta dia. Dia berhak mendapat cinta dari Ina. Dialah yang bertanggungjawab menyembuhkan duka lara Ina selama ini. Dialah yang memadamkan keresahan di hati Ina sejak abang menyepi. Maafkan Ina. Hati Ina telah dimiliki oleh insan lain. Lupakanlah Ina, abang”.


“Ina, sampai hati Ina buat abang macam ni. Abang sangat mencintai Ina. Abang buat semua ni untuk masa depan kita”. Haiqal mengalirkan air mata akhirnya. “Carilah pengganti, Ina. Ina pasrah menerima semua ni. Tinggalkanlah Ina. Ina sangat mencintai dia. Maafkan Ina. Cinta Ina untuk abang telah terkubur sejak sekian lama”. Aku mengesat air mataku yang berguguran tanpa henti. Sedihnya hati.
Haiqal terdiam. Jelas tergambar raut kesedihan pada wajahnya. “Kalau itu hukuman yang Ina berikan, abang terima walau hati abang tak rela. Hati abang luka berdarah. Abang doakan moga Ina bahagia dengan pilihan Ina. Tapi, Ina mesti tahu bahawa abang masih cintakan Ina. Cinta abang tak pernah padam biarpun cinta Ina telah mati untuk abang”. Aku berasa sangat sedih mendengar suara sayu Haiqal. Suaranya sendu menambahkan rasa bersalah dalam hatiku. “Ina juga doakan kebahagiaan abang. Moga abang dapat pengganti yang jauh lebih baik daripada Ina”.


Suasana sepi seketika. Haiqal memandangku. “Izinkan abang memandang wajah Ina. Lepas ni tak dapat pula abang nak menatap lama. Nanti ada yang cemburu. Tak pasal-pasal lebam muka abang”. Haiqal cuba untuk berseloroh. Aku tersenyum. Senyuman paksa. Air liur yang ku telan terasa pahit. “Tataplah puas-puas abang. Sebab ini kali terakhir kita jumpa berdua macam ni”. Aku terasa sedih mengingatkan kenangan yang dilaui bersama Haiqal. Satu persatu kenangan terbayang di ingatan. Kubiarkan kenangan itu datang mengusik jiwa. Selepas pertemuan ini, aku takkan benarkan kenangan itu datang lagi.


Jam menunjukkan pukul empat petang. Aku meminta diri untuk pulang. “Ina minta diri dulu, abang. Maafkan Ina. Moga kita dapat bertemu lagi lepas ni”. Haiqal mengganguk. “Abang terpaksa lepaskan Ina biarpun hati abang terasa sangat berat. Ina tak usah minta maaf. Abang yang bersalah. Maafkanlah abang. Seandainya Ina bersedih, hubungilah abang. Abang sentiasa ada untuk Ina”. Tolonglah jangan cakap apa-apa lagi abang. Aku mengganguk dan terus berlalu pergi tanpa menoleh lagi.
Ku kesat air mata yang laju menuruni pipi. Aku duduk di bawah sepohon pokok yang rendang. Aku menangis semahu-mahunya. Mana Izwan? Aku sangat memerlukannya sekarang. Jiwaku merintih menanggung kerinduan. Aku mencintaimu, Iz. Sangat mencintaimu. Tolonglah datang kepadaku. Aku memilihmu, Iz. Kau selayaknya mendapat cinta dariku. Kau sememangnya tercipta untukku. Maafkanlah aku kerna melukai hatimu. Aku berjanji aku takkan membiarkan kau terluka lagi.


Aku bangun setelah sekian lama duduk di situ. Aku bangun mencari sinar bahagia. Mencari cinta hatiku. Aku harus mencari Izwan sekarang juga. Tetapi, di mana dia? Aku terus menyusuri jalan dan terus berlari dengan harapan bertemu dengan dia. Aku ingin menyatakan bahawa aku hanya mencintai dia. Tiada yang lain. Hanya dia yang satu di hatiku. Harapanku berbunga melihat kelibat dia. Moga-moga kebahagiaan akan berkekalan dalam hidupku. Amen.

No comments:

Post a Comment