Thursday, August 12, 2010

Hati seorang guru

Erti sebenar sebuah kesabaran…
Jam menunjukkan angka enam. Aku masih bermalasan di atas katil. Sejenak aku hilang dalam khayalan sendiri. Tiba-tiba aku tersedar dari lamunan. Ku gagahkan diri untuk bangun. Aku duduk di birai katil. Aku tersenyum sendirian bila teringatkan hari ini adalah hari pertama aku menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Tidak dapat ku bayangkan keadaan di sekolah itu nanti. Setelah beberapa bulan aku menggangur, kini aku bersyukur kerana aku telah berjaya menjadi seorang guru. Indahnya apabila impian yang diharapkan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Bersyukur aku ke hadrat Ilahi.

Tepat pukul tujuh pagi, aku telah memasuki perkarangan Sekolah Menengah Indah Mutiara. Hmm…cantik nama sekolah ini. Kawasannya pun bersih dan ceria. Dalam diam-diam aku kagum dan terpegun melihat persekitaran sekolah ini. Aku berazam untuk menjadi seorang guru yang baik dan berdedikasi. Insyaallah. Semoga aku dapat merealisasikan segala impian dan harapanku di sini. Hasratku hanya satu. Aku ingin mencurahkan dan menumpahkan segala ilmu di dada kepada anak- anak muridku. Aku juga berjanji akan memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam diri ini. Semua manusia memiliki kelemahan masing-masing dan begitu juga dengan aku. Aku bersedia menerima nasihat, kritikan yang membina, segala teguran dan seumpamanya.

Aku tiba di bilik guru dan sempat berkenalan dengan sebahagian guru di situ. Tanpa melengahkan masa, aku terus menuju ke bilik pengetua untuk melapor diri. Aku telah diberikan buku rancangan mengajar dan jadual mengajar. Pengetua memberikan nasihat dan semangat kepadaku untuk memulakan tugas menjadi seorang guru. Aku merenung jadual mengajarku seketika. Oh! kelas pertamaku pukul 10 pagi. Kelas 3 Melur. Mesti pelajar kelas ini bijak dan pandai. Harap-harap begitulah. Hatiku berbisik sendirian. Aku tersenyum. Moga-moga segalanya dipermudahkan.

Aku masuk semula ke dalam bilik guru. Semuanya tidak lokek melemparkan senyuman. Tiba-tiba, aku didatangi oleh seorang cikgu lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Riezman. Dia menyapakan dengan mesra. “Selamat pagi. Emm...siapa nama? Asal? Saya Riezman berasal dari Kedah”. Aku menjawab pertanyaannya sambil tersenyum.“Saya Alya. Saya orang Sarawak.”. “Awak ajar subjek apa?” Dia bertanya lagi. Terlebih peramah pulak mamat ni.“Subjek BM dan Encik Riezman?”. “Tak usah berencik-encik dengan saya. Panggil je Riz. Kan elok. Saya ajar subjek Matematik. Em...boleh saya panggil awak Lya je?”. Aku tersenyum sebelum menjawab pertanyaannya. “Okay. Saya tak kisah awak nak panggil ape”. Dia tersenyum. Tampan juga orangnya. Mudah mesra pula tu. Sempat aku memuji dia dalam hati.

Aku berkenalan seketika dengan Riezman. Baik juga orangnya. Kebaikannya sungguh tidak ku nafikan. Kebaikannya sangat ku hargai memandangkan aku sedang berupaya menyesuaikan diri di tempat yang baru sebegini. Syukurlah! Semoga kebaikan itu tidak bertitik noktah. Begitulah harapanku. Aku melangah menuju ke kelas 3 Melur dengan debaran yang sukar untuk dimengertikan. Aku berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar. Terpampang nama 3 Melur di muka pintu kelas tersebut dan aku mula menghayunkan langkah yang pertama dengan penuh yakin. Semangatku menyala dan berkobar-kobar. Tiba- tiba, aku tergelincir lalu jatuh terjelepok. Oh! Rupa-rupanya, kulit pisang bertaburan di sana-sini. Punggung ku terasa sangat sakit. Lama aku terduduk di atas lantai. Seketika kemudian aku terdengar kelas menjadi riuh rendah dengan bunyi derai ketawa dan sorakan. Aku berasa sangat terkejut dengan situasi ini. Situasi yang pertama kali ku alami. Kesakitan yang ku rasakan seakan hilang. Adakah patut mereka bersorak sedangkan aku sedang menahan rasa sakit ini? Kalau lucu pun, janganlah ketawa sampai begitu. Sedihnya hati apabila ditertawakan oleh pelajar sendiri.

Seorang pelajar bangun dan dengan selamba dia melemparkan kata-kata yang sememangnya di luar jangkaanku. “ Rasakan. Sedap tak jatuh? Hahaha...”. Aku terkesima tanpa kata. Terasa ingin menitis air mataku. Dugaan apakah ini Tuhan? Aku mengalihkan pandanganku ke papan hitam. Aku terkejut sekali lagi. Tertulis dengan huruf besar “ KAMI TAK SUKA CIKGU BARU!”. Suaraku tersekat di kerongkong. Tiada sepatah perkataan keluar dari mulutku. Konfrontasi apakah ini? Aku cuba untuk senyum. Kesakitan di punggung masih terasa. Sampai hati mereka mentertawakanku. Aku mengeluarkan buku rujukan Bahasa Melayu dari beg. Aku berjanji akan menghadapi segala dugaan ini dengan hati yang cekal dan tabah. Aku memulakan sesi pengajaran dengan sesi berkenalan. Aku cuba mengawal perasaan dan menenangkan hatiku yang kian berdegup kencang.

“Selamat pagi semua. Cikgu akan mengajar subjek Bahasa Melayu menggantikan Cikgu Suraya mulai dari hari ini. Nama cikgu ialah Alya Istiqa. Cikgu berasal dari Sarawak. Okay, sekarang giliran cikgu pula nak tau pasal kamu semua. Kita mula dari bahagian belakang. Sila perkenalkan diri kamu”.
“Hey... saya tak nak berkenalan dengan cikgu. Tak ada faedah pun. Lebih baik cikgu duduk diam. Saya tak suka diarahkan”. Kasar dan berani sekali budak itu. Aku tetap bersabar. “Kalau kamu belum bersedia, kita mulakan dengan yang lain”. Lembut suaraku. Aku tahu bukan kekerasan untuk mengajar mereka. Selepas itu, seorang demi seorang pelajar bangun memperkenalkan diri. Budak lelaki tadi memandangku dengan wajah yang benci. Sangat benci. Mengapa dia benci sangat kat aku? Entahlah...apa masalah dia sebenarnya? Aku belum lagi menemui jawapannya dan aku berharap akan segera menemui segala jawapan bagi persoalan yang menghantui fikiranku ini.
“Murid-murid, sebagai permulaan sesi pengajaran dan pembelajaran ini, cikgu nak kamu semua hasilkan sebuah karangan yang senang dan mudah yang bertajuk “Sayang keluargaku”. Esok hantar. Cikgu nak tengok sejauh mana kemahiran kamu dalam membina karangan setakat ni”. Aku sungguh terkejut apabila tiba-tiba budak itu bersuara lagi. “Saya tak nak buat karangan. Saya tak ada keluarga. Jadi, saya tak sayang keluarga saya. Cikgu jangan pandai-pandai nak mengarahkan kami!”. Memang tak silap jangkaanku. Dia memprotes lagi. Siapa agaknya nama dia? Benarkah dia tiada keluarga? Macam-macam budak ini. Sayang sekali muka handsome tapi perangai...hmm... “Apa-apa pun, cikgu nak kamu siapkan karangan tu esok”.

Tepat pukul 12.30 tengahari, tamatlah sesi mengajar hari ini. Hari pertama mengajar di sekolah mengajarku erti kesabaran. Beginilah dugaan guru-guruku dahulu. Pengalaman pahit dan manis bercampuraduk. Hari pertama di sekolah aku telah diuji dengan pelbagai karenah pelajar. Aku mengeluh. Susah juga menjadi seorang guru apabila pelajar tidak menghargai pengorbanan seorang guru. Teringat zaman persekolahan dulu, aku nakal juga orangnya tapi aku tetap menghormati insan yang bergelar guru. Aku seringkali mengusik dan bermain ketika guru sedang mengajar di depan. Tersenyum aku teringat kisah dulu-dulu. Kenakalan zaman persekolahan. Kini, perkara yang sama terjadi kepadaku. Inilah lumrah kehidupan. Harus diterima seadanya dengan hari terbuka. Aku berjanji akan terus bertahan dalam bidang ini dalam apa jua keadaan.

Aku mengemas buku di atas meja. Aku terkejut apabila cikgu Riezman berdiri di hadapanku. Dia tersenyum. Aku membalas senyumannya itu. “Dah nak balik ke?”. Dia menyapaku dengan senyuman mesra. “Nampaknya begitulah. Riz pulak?”. “Samalah. Tak nak singgah kat cafe dulu ke? Jom makan sama”. Perutku terasa lapar. Tapi, aku nak makan kat rumah hari ni. Lagipun tak manis pula makan bersama dengan dia. Apa pula tanggapan cikgu lain. “Takpe la...lain kali je”. Aku menolak pelawaan cikgu Riezman dengan baik. Dia sekadar mengganguk. “Kalau macam tu, saya minta diri dulu”. Cikgu Riezman terus berlalu pergi. Aku terus mengemas buku-buku dan memilih buku yang harus dibawa balik ke rumah.
* * *
Aku mengajar seperti biasa. Jadualku padat dari pagi. Sedar tak sedar jam menunjukkan angka 10. Selepas ni aku masuk kelas 3 Melur lagi. Terasa takut nak menjejakkan kaki ke kelas itu. Jantungku berdebar kencang ketika aku menghayunkan kaki melangkah menuju kelas 3 Melur. Aku berasa terhibur masuk kelas lain. Berlainan dengan kelas ini. Aku sempat berdoa dalam perjalanan menuju ke kelas 3 Melur. Tuhan, jauhkan aku dari segala kemungkinan. Amen.
Aku melangkah masuk dengan perasaan yang tidak keruan. Aku berasa hairan dengan perubahan ini. Mereka mengucapkan “Selamat pagi cikgu” dengan penuh semangat. Aku berasa sangat terkejut dengan perubahan yang mendadak ini. Hatiku berbunga bahagia. Aku bersemangat dengan tiba-tiba. Moga perubahan ini berkekalan. Aku tersenyum memandang wajah setiap pelajar. Mereka juga tersenyum memandangku. Alangkah bahagianya hatiku. “Selamat pagi semua. Sebelum tu, cikgu nak tanya. Dah siap ke karangan semalam? Tolong hantar sekarang”. Semua berebut nak menghantar karangan. Terima kasih atas kerjasama anda semua pelajar kesayanganku. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam hati. Syukurlah dengan perubahan yang mendadak ini.
Semua pelajar menghantar karangan. Tidak ada seorang pun terkecuali. Aku mencari budak lelaki itu. Serentak dengan itu, dia juga memandangku. Dia melontarkan senyuman. Aku turut tersenyum. Inilah perubahan yang aku nanti-nantikan. Bagus! Aku duduk sebentar untuk menyemak sekali imbas hasil karangan mereka. Memang tidak menghampakan aku. Mereka memang berkebolehan. Tiba-tiba, aku merasakan ada sesuatu atas kerusi. Aduh! Apa ni? Aku tidak dapat bangun. Ada sesuatu yang diletakkan di atas kerusi sehingga aku melekat. Aku meraba tempatku duduk. Serentak dengan itu, aku terkejut besar. Gam! Gam apa ni? Kerja siapa ni? Aku cuba sedaya upaya untuk bangun namun tak dapat juga. Baju kurungku melekat pada kerusi. Tiba-tiba, terdengar sorakan pelajar. Mereka bersorak gembira sambil mentertawakanku. Aku terasa mahu menangis namun ku tahan air mata daripada keluar. Tidak pernah seumur hidup aku ditertawakan begini. Hebat sungguh lakonan kalian semua sebentar tadi sehingga aku boleh terpedaya. Sedihnya hati tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Cikgu, best tak melekat kat kerusi tu? Mesti best kan. Hahaha...” Lantang suara budak lelaki itu mengejekku. Tega benar hatinya melihat aku dalam keadaan begini. Tolonglah...aku berpeluh berusaha untuk bangun. Tiada seorang pun bangun memberikan bantuan. Tiba-tiba, seorang budak perempuan yang bertocang dua menarikku dengan niat untuk membantu. Dia menarik baju kurungku yang melekat. Dia mengambil gunting dan menggunting bahagian yang melekat. Setelah berusaha keras, akhirnya dapat juga aku bangun dengan bantuan pelajarku yang berhati murni ini. Aku berasa sedih. Baju kurung kesayanganku koyak rabak. Siapakah yang punya angkara? Sebak rasa di dada. Mengapa mereka buat aku begini? Setelah mengucapkan terima kasih pada pelajar tersebut, aku terus meninggalkan kelas yang masih gamat. Aku menangis dalam pejalanan ke bilik guru. Aku terserempak dengan cikgu Riezman. Dia berasa hairan dan terpinga-pinga melihat aku menangis. Aku meneruskan pejalanan. Aku terus balik ke rumah. Nasib baik rumahku berhampiran dengan sekolah. Aku hanya berjalan kaki untuk ke sekolah.

Ingatanku terus melayang ke kampung halamanku. Daerah yang menyambut kelahiranku. Aku memerlukan belaian ibu ketika ini. Aku sangat rindukan kampung halaman dan keluargaku yang jauh nun di sana. Sungguh. Aku terus merebahkan tubuh ke atas katil sesampainya di rumah. Peristiwa tadi bermain-main di fikiranku. Menari-nari di tubir mata. Aku memejamkan mata dengan harapan peristiwa tadi terus lenyap dari ingatan. Patutlah mereka kelihatan berlainan daripada semalam. Ada udang di sebalik batu. Rupa-rupanya mereka bersepakat mengenakan aku. Apa salahku? Aku tertanya-tanya sendiri. Fikiranku sangat terganggu dengan peristiwa tadi. Satu persatu peristiwa semalam dan hari ini muncul dan bertandang mengusik naluri. Akhirnya, aku terlena dalam tangisan.


* * *
Hari ini, aku meneruskan hariku seperti biasa. Hari ketiga aku menyumbangkan bakti di sekolah ini. Aku cuba melupakan peristiwa yang meracun hatiku sebelum ini. Aku masuk ke dalam bilik guru dengan wajah yang ceria. Aku tiba seawal jam tujuh. Masih awal lagi. Aku melemparkan senyuman ke arah guru yang berada dalam bilik guru ketika itu. Hanya cikgu Areesa membalas senyumanku dengan wajah yang serius. Dia sahaja yang tidak pernah melemparkan senyuman ke arahku. Mungkin dia ada masalah. Aku tidak mahu bersikap prejudis terhadap orang yang baru dikenali. Mengapa agaknya cikgu Areesa tidak seramah cikgu lain? Dia tidak pernah menegurku. Semalam aku menegurnya tetapi sapaanku tidak berjawab. Malu juga aku dibuatnya. Macam-macam ragam insan yang baru dikenaliku di sini. Cikgu Riezman menghampiriku dan mempelawaku untuk bersarapan bersama. Aku menerima pelawaannya kini. Terasa lapar kerana belum menjamah sebarang makanan di rumah tadi. Aku sempat memandang cikgu Areesa sekilas dengan harapan dia tersenyum kepadaku. Aku ingin mengajaknya bersarapan bersama. Apabila melihat wajahnya yang begitu serius, aku terus membatalkan niat di hati.
Aku melepaskan keluhan berat. Sebentar lagi aku melangkahkan kaki masuk ke dalam kelas 3 Melur. Kelas yang membuatkan tidurku tidak lena. Langkahku diatur dengan berhati-hati. Aku tidak ingin pisang berbuah dua kali. Cukuplah apa yang telah terjadi sebelum ini. Aku harus menjadi guru yang setegas mungkin. Aku takkan biarkan mereka memijak-mijak kepalaku lagi. Aku ada maruah dan harga diri. Aku masuk ke kelas dengan wajah yang serius. Aku tidak mahu lagi kelihatan lemah di hadapan para pelajarku. Semua pelajar kelihatan senyap. Nampaknya mereka tak berani bersuara. Bagus! “Okay...buka muka surat 20. Baca sekarang. Cikgu akan soal sorang-sorang lepas ni”. Mereka kelihatan mendengar arahanku. Semua tunduk membaca halaman 20 kecuali seorang pelajar. Hmm...pastinya Badrul. Dia lagi. “Badrul, baca halaman 20 sekarang”. Arahku. Dia tidak mengendahkan arahanku. Geram juga aku dengan perangai dia ni. Aku terus memujuk hati yang kian panas membara. Sabarlah wahai hati.
“Cikgu tak ada hak nak mengarahkan saya. Saya tak suka. Mak bapak saya tak ada pun mengarahkan saya buat apa-apa. Tolong jangan paksa saya ok!”. Dia pula memberiku amaran. Terbalik pulak. Aku ke dia yang jadi cikgu? Apa masalah budak ni sebenarnya? Geram betul dengan sikapnya ini. “Badrul, dah sebagai tanggungjawab cikgu untuk mengajar kamu semua. Jadi, cikgu harap Badrul faham. Okay...sekarang baca petikan halaman 20 dan cuba fahamkan”. Aku masih berlembut. Dia tiba-tiba menghempaskan buku ke atas meja. Terkejut sungguh aku. Apa pulak ni?
“Saya tak tahan dengan sikap cikgu yang suka memaksa! Cikgu nak tau tak? Saya langsung tak berminat nak belajar apabila memandang wajah cikgu. Langsung tak lawa! Macam nenek kebayan! Low profile!”. Dup!dup! sesak nafasku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut dia. Tuhan, penghinaan apakah ini? Terasa aliran darahku makin laju mengalir. Panas seluruh tubuhku. Menggigil seluruh tubuh menahan getaran di hati. Air mataku keluar juga akhirnya. Tak berupaya aku untuk terus menahan titisan mutiara ini dari berguguran jatuh membasahi pipi. “Badrul, cikgu tau cikgu tak lawa, tak cantik, tak bergaya dan sebagainya. Pernah tak awak cuba faham perasaan cikgu ni? Pernah tak awak cuba menyelami hati naluri cikgu? Cikgu minta maaf pada anda semua kerana tidak dapat menarik minat anda semua untuk belajar. Tapi, niat cikgu ikhlas. Cikgu ada tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan. Tanggungjawab terhadap anda semua. Cikgu ingin berkongsi ilmu dengan anda semua. Mengapa kamu semua tidak pernah mengerti dan menghargai? Cikgu sedar, cikgu tak lawa dan tak pandai bergaya. Tapi, cikgu ada maruah dan harga diri. Okay...cikgu balik dulu”.
Badrul terdiam seribu bahasa. Sedikit sebanyak kata-kata cikgu Alya menusuk ke dalam tangkai hatinya. Hatinya terusik mendengar kata-kata cikgu Alya yang bisa bagaikan tikaman sembilu. Kata-kata cikgu Alya terasa begitu menyentuh hatinya. Seketika, dia menyepi sambil menggeleng kepala. Dia tidak suka cikgu baru itu yang hanya ingin mengarah dan mengongkong hidupnya.
* * *
Ku lalui hari-hari mendatang dengan kecekalan dan ketabahan. Lumrah kehidupan di dunia. Ada suka dan duka. Tidak semuanya indah. Aku bersyukur dengan semua kenangan yang telah ku lalui. Kenangan telah memberikan pengajaran yang tidak ternilai dalam hidupku. Kesibukan di sekolah membuatkan aku mengabaikan segala kepahitan yang telah berlaku. Hari ini, aku mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Badrul ditemani oleh cikgu Riezman. Aku ingin menyelongkar kisah hidup Badrul serta merungkai segala persoalanku selama ini.

Kedatangan aku dan cikgu Riezman disambut baik oleh pembantu rumah yang begitu peramah. Aku terkejut melihat rumah Badrul yang tersergam indah. Mesti Badrul anak orang berada. Kami dipersilakan duduk. Aku memerhatikan segenap ruang tamu yang tersusun kemas. Aku memuji dalam hati. Badrul keluar dengan kawan-kawannya. Agaknya rumah besar yang sunyi menyebabkan Badrul mencari kedamaian di luar. Tanpa berlengah lagi, aku terus bertanya tentang kisah hidup Badrul.

“Dia kekurangan kasih sayang dari orang tuanya. Mak cik ibarat ibu kandungnya sebab sejak lahir dia begitu rapat dengan mak cik. Kadang-kadang, dia kekok bila berhadapan dengan papa dan mamanya. Mereka ibarat orang asing dalam hidupnya. Mak cik sangat bersimpati dengan nasibnya. Dia selalu cemburu melihat orang lain yang begitu mesra dengan keluarga masing-masing. Mak cik selalu menemaninya ke mana-mana saja dia mahu pergi. Mama dan papanya terlalu mengejar kemewahan dunia menyebabkan anak mereka terabai. Mereka jarang balik ke rumah. Badrul hidup dalam kesepian sejak lahir. Dia selalu menangis depan mak cik. Mak cik sangat kesian tengok hidup dia yang terumbang-ambing tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari mama dan papanya. Hidup terkapai-kapai dalam timbunan emas dan mutiara. Mak ciklah tempat dia menumpang kasih. Mak cik dah anggap dia sebagai darah daging mak cik sendiri. Badrul budak baik. Mak cik sangat menyayanginya”.

Aku terharu mendengar kisah hidup Badrul. Hairan juga aku. Mengapa dia begitu nakal dalam kelas? Ternyata dia mempunyai duka yang membelenggu. Aku turut bersimpati. Aku ingin membantu Badrul agar dia tidak begitu merasai kekosongan dalam hidupnya. Aku akhirnya nekad menyuarakan hasrat hati untuk menjadikan Badrul sebagai anak angkat. Aku ingin menyelami hati Badrul sedalam-dalamnya. Jiwa Badrul pasti memberontak. Kasihan dia. Aku tak dapat menyelami perasaan dia yang kekurangan kasih sayang kerna aku dilahirkan dengan limpahan kasih sayang oleh ibu dan bapaku. Meskipun tidak semewah hidup Badrul, aku sangat bersyukur dengan ketentuan hidupku.
Badrul tersedak. Apa yang telah ku dengar ni? Betulkah? Dia seakan tidak percaya dengan cerita Mak Yam sebentar tadi. Jantungnya berdebar. Benarkah cikgu Alya datang ke rumahnya dan ingin menjadikannya anak angkat? Mustahil Mak Yam berbohong. Dia terasa seperti dalam mimpi. Murni sungguh hatimu, cikgu. Apakah cikgu Alya tidak berdendam padaku? Susah dia nak mempercayai apa yang disampaikan oleh Mak Yam. Tapi, hatinya terusik. Dia tiba-tiba tersedar. Seperti ada sesuatu yang menyentuh dan menggerakkan hatinya. Penyesalan bertandang dalam hati. Apa yang telah aku buat selama ni? Ya Tuhan! Badrul menjadi tak tentu arah. Tak sanggup dia mengingat kembali apa yang telah dia lakukan kepada cikgu Alya. Jahatnya aku. Begitu kejam aku ni! Dia mula memarahi diri sendiri. Dia tidak dapat tidur semalaman. Tidak sabar menanti hari esok. Sejuta keampunan akan dipohon kepada cikgu Alya. Dia sangat menyesal. Resah. Gundah. Macam-macam perasaan bertandang ke lubuk hatinya. Akhirnya, dia menitiskan air mata. Hatinya tidak sekeras seperti.yang disangkakan. Hatinya tulus dan selembut sutera.
* * *
Bersemangat sungguh dia hari ini. Suara hatinya kian mendesak. Mana cikgu Alya ni? Lambatkah dia sampai hari ini? Cepatlah cikgu. Badrul menunggu di hadapan pintu masuk sekolah. Dia menanti dan terus menanti tetapi kelibat cikgu Alya tak juga muncul-muncul. Badrul hampa. Dia berjalan lemah menuju ke kelas. Terasa terbang melayang seluruh semangatnya yang berkobar-kobar tadi. Rapuh dan runtuh segala harapannya. Hanya keluhan berat terdengar. Penantian yang sungguh menyeksakan.
Seminggu cikgu Alya menghilang. Badrul tertanya-tanya sendiri. Badrul terus berjumpa dengan cikgu Riezman untuk kepastian. Alangkah terkejutnya Badrul apabila mengetahui bahawa cikgu Alya telah balik ke Sarawak atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Begitulah kata cikgu Riezman. Tanpa sedar, Badrul menangis. Kesedihan hati tidak dapat diungkapkan dalam kata-kata. Sungguh terseksa dia menanggung penyesalan. Penyesalan pada seorang guru yang selalu disakitinya. Seorang guru yang berhati mulia dan seorang guru yang yang kini sudah menjadi mamanya.

Cikgu, maafkanlah aku. Ampunkanlah aku. Sesungguhnya kau adalah lilin yang membakar dirimu sendiri. Aku tahu kau begitu terseksa dan terluka selama ini. Kini, aku mulai merasai kesakitannya. Aku dapat merasakan apa yang kau telah rasa selama ini. Pulanglah cepat, cikgu. Aku ingin mendengar suara cikgu. Aku ingin menerima sinar kemuliaan ilmu di dadamu. Aku rindu mendengar arahanmu. Aku ingin melihat senyuman tulus dari bibirmu. Aku ingin melutut di hadapanmu, cikgu. Dengarlah rintihan hatiku ini. Baliklah ke sini, cikgu. Kami sentiasa menanti cikgu. Begitulah luahan hati Badrul terhadap cikgu Alya. Begitulah penyesalan yang akan dirasai terhadap guru yang telah menaburkan ilmu kepada kita. Usahlah menyakiti dan melukai hati seorang insan yang bernama guru. Guru, indahmu persis kerlipan bintang melatari pekat malam.
* * *
Dan akulah cikgu itu. Cikgu yang seringkali diuji. Diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, aku bersyukur kerna diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi segalanya. Kepada Badrul, moga-moga dibukakan pintu hatinya untuk menerimaku sebagai mama dan gurunya. Semoga aku lebih tabah dan cekal menghadapi segala kemungkinan selepas ini. Kini, baru ku mengerti hakikat sebenar sebuah kesabaran. Kesabaran menjadi seorang insan yang bergelar guru.

No comments:

Post a Comment